Monday, February 10, 2014

DENGGI?? BAGAIMANA MERAWAT?

Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kepada kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini.Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya. 



Bagaimanakah terjadinya demam denggi?
Vektor demam denggi adalah nyamuk Aedes betina.
Nyamuk yang telah dijangkiti membawa virus denggi di dalam badannya. Virus ini kemudiannya dipindahkan kepada manusia semasa proses menghisap darah. Sebaik sahaja seseorang itu digigit, virus denggi akan memasuki dan beredar di dalam aliran darahnya, maka bermulalah penyakit ini.
Apakah gejala denggi?
Demam denggi ialah sejenis penyakit arboviral yang kompleks merangkumi demam denggi, demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi.
Demam Denggi
• Ciri-ciri klinikal demam denggi berubah-ubah mengikut umur pesakit:
• Bayi dan kanak-kanak mungkin mengalami demam yang sukar dibeza-bezakan beserta dengan kemunculan ruam.
• Orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih tua mungkin mengalami sama ada sindrom demam yang tidak serius ataupun demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk, ruam dan sakit di belakang mata, otot dan sendi.
• Pendarahan kulit adalah fenomena lazim.
• Kadar kematian amat rendah.
• Penyakit ini lazimnya bermula dengan peningkatan suhu badan yang mendadak, diikuti gejala-gejala lain yang tidak khusus seperti merah muka dan lain-lain gejala demam denggi yang tidak spesifik.
• Rasa tidak selesa di bahagian ulu hati (epigastrik), sensitif di bahagian rusuk kanan dan sakit di bahagian abdomen merupakan fenomena biasa demam denggi berdarah.
• Demam selalunya berterusan selama 2-7 hari dan suhu badan boleh meningkat setinggi 40-41oC dan mungkin diikuti dengan kekejangan dan pendarahan.
• Dalam kes-kes yang sederhana teruk, selalunya semua tanda dan gejala penyakit hilang selepas demam sembuh.
• Pesakit biasanya sembuh secara spontan atau selepas diberi terapi cecair dan elektrolit (ion berasingan seperti natrium, klorida, potasium, bikarbonat dan lain-lain)
Rawatan
• Segera berjumpa dengan doktor kerana tiada ubat yang khusus untuk merawat demam denggi.
• Rehat dan banyakkan minum air masak. Ubat paracetamol boleh diambil untuk menurunkan demam dan mengurangkan kesakitan.
• Elakkan ubat aspirin bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
• Mandi jerlum.
• Antibiotik tidak diperlukan.

Pencegahan

Pada masa sekarang tiada vaksin untuk mengubati demam denggi. Walau bagaimanapun usaha-usaha sedang dijalankan untuk menghasilkan vaksin tersebut.
Elakkan gigitan nyamuk dengan:
  • Gunakan ubat nyamuk.
  • Gunakan kelambu semasa tidur. Gunakan 'repellent' jika perlu.
  • Elakkan aktiviti semasa nyamuk aktif menggigit (5.30 pagi-8.00 pagi dan 5.30 petang-8.00 malam).
  • Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang apabila keluar daripada rumah.
  • Pasang jaring halus (mosquito mesh) di tingkap dan pintu.
Menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk:
  • Menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di sekeliling rumah. Musnahkan semua bekas yang boleh menakung air hujan atau lebihan air, terutamanya di besen, tayar lama, bekas bunga, bekas plastik dan tong. Jika tidak boleh dimusnahkan, letakkan bahan pembunuh jentik-jentik di bekas tersebut.
  • Kerap tukar air di bekas minuman haiwan peliharaan.
Jom jaga persekitaran dalam rumah dan luar rumah agar tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk dan tempat berisiko tinggi terhadap anak-anak, keluarga, orang sekeliling dan setempat. Amalkan persekitaran bersih untuk kesihatan sejagat. 

RUJUKAN :-

No comments: