Monday, May 29, 2017

PERKARA PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA



Image result for pERKARA Membatalkan puasa



Pertama : Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dengan sengaja, sama ada daripada jenis makanan atau bukan makanan. Termasuk perkara ini ialah :

1) Menghisap rokok / tembakau, candu, dadah dan sebagainya. Dan menghisap (Nusyuk) melalui hidung.

2) Suntikan makanan atau menambah vitamin.

Kedua : Memasukkan sesuatu daripada dua jalan (Qubul & Dubur).

Ketiga : Memuntahkan makanan dengan sengaja.

Keempat : Jimak (Bersetubuh)


Sebagaimana Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w, katanya:
Celaka aku, wahai Rasulullah. 

Nabi s.a.w berkata:
Apakah yang mencelakakan engkau? 

Jawab lelaki itu: 
Aku telah bersetubuh dengan isteriku pada waktu siang di bulan Ramadan. 

Rasulullah s.a.w berkata: 
Sanggupkah engkau memerdekakan hamba? 

Jawab lelaki itu: 
Tidak sanggup. 

Rasulullah s.a.w berkata: 
Hendaklah engkau berpuasa dua bulan berturut-turut?

Jawab lelaki itu: Tidak mampu. 

Kata Rasulullah s.a.w: 
Adakah engkau mempunyai makanan untuk diberikan kepada enam puluh orang miskin?. 

Jawab lelaki itu: 
Tidak. 
Kemudian lelaki itu duduk, sekejap lepas itu datang seseorang kepada Nabi s.a.w dengan memberi satu bakul besar berisi tamar. 

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: 
Sedekahkanlah kurma ini. 

Kata lelaki itu: Kepada siapakah? Kepada yang lebih miskin daripada aku? Demi Allah tidak ada penduduk kampung ini yang lebih berhajat kepada makanan selain dari kami seisi rumah. 

Nabi s.a.w tertawa sehingga terlihat gigi taringnya dan berkata: 
Pulanglah, berikanlah kurma itu kepada ahli rumahmu.  

(Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Kelima : Keluar Mani dengan sengaja.
Dengan apa cara yang pada adatnya boleh membawa kepadanya. Atau dengan sengaja memandang, atau berfikir-fikir, cium, sentuh dan sebagainya. Akan tetapi sekiranya keluar kerana bermimpi tidak membatalkan puasa.

Keenam dan  Ketujuh : Keluar darah Haid dan Nifas .

كنا نحيض عند رسول الله صلى الله عليه وسلم ثم نطهر فنؤمر بقضاء الصوم ، ولا نؤمر بقضاء الصلاة 

Maksudnya : Dari Aisyah r.a, katanya: Kami disuruh oleh Rasulullah s.a.w mengqada' puasa dan tidak disuruhnya untuk mengqada' sembahyang. (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

Kelapan : Gila.

Kesembilan : Murtad terkeluar daripada islam samaada dengan perkataan atau perbuatan atau keyakinan.

وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

Maksudnya : Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat. [Surah Al-Baqarah, Ayat : 217]

Kesepuluh : Pengsan sepanjang hari ketika berpuasa .



SOAL-JAWAB PERKARA YANG MENJADI KEMUSYKILAN.



Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa? 
Perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah seperti berikut: Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja, kecuali kerana darurat yang berkaitan dengan kesakitan. Makan, minum dan merokok membatalkan puasa. Adapun suntikan ubatan tidak membatalkan puasa.  - Muntah dengan sengaja  - Mengeluarkan air mani  - Melakukan jimak (hubungan seks) pada siang hari  - Kedatangan haidh, nifas atau kelahiran bagi wanita  - Menjadi gila  - Pitam sepanjang hari  - Mabuk (yang menghilangkan daya pemikiran waras) sepanjang hari  - Murtad, iaitu keluar dari agama Islam

Adakah mimpi sehingga keluar air mani membatalkan puasa? 
Hadas besar yang disebabkan mimpi tidak membatalkan puasa, sama ada ianya berlaku sebelum atau selepas waktu sahur. Orang yang berhadas tersebut boleh meneruskan puasanya. Yang perlu hanyalah mandi junub. 

Saya telah bermimpi sehingga mengeluarkan mani pada siang hari bulan Ramadan, kemudian saya mandi junub. Adakah mandi junub tersebut membatalkan puasa saya?
Bermimpi sehingga mengeluarkan mani dan mandi junub tidak membatalkan puasa. Malahan, sekiranya termasuk air ke dalam telinga atau tertelan air ketika berkumur-kumur (sewaktu mengambil wuduk atau mandi) puasa tidak terbatal kerana ia dikira tidak sengaja. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengampuni umatku yang tersilap, terlupa atau dipaksa melakukan sesuatu.” (Riwayat At-Tabarani) 

Ada yang mengatakan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung menjejaskan puasa seseorang. Sejauh manakah kebenaran pendapat ini? 
Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk adalah sunat. Bagi orang yang berpuasa pula, maka tidak boleh berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan berlebihan. Sekiranya seseorang berwuduk dengan tidak kelebihan dan air itu termasuk ke dalam kerongkong, maka puasanya tetap sah. (Sila rujuk di atas). Samalah keadaannya jika dimasuki debu jalanan, debu tepung atau lalat yang terbang masuk ke dalam kerongkong. Semua ini dimaafkan kerana tidak sengaja. Namun, jika seseorang berkumur-kumur dengan berlebihan, ia boleh menyebabkan air masuk ke dalam kerongkong, dan jika ini berlaku, maka puasanya batal. 

Adakah seseorang yang sedang berpuasa itu boleh melakukan sukan renang? 
Berenang boleh menyebabkan masuknya air ke dalam hidung dan/atau telinga perenang. Jika air memasuki badan cara sedemikian,  adalah batal puasa seseorang. Dengan ini, sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang berpuasa dinasihatkan agar tidak berenang di siang hari Ramadan untuk mengelakkan dari terbatalnya puasa. (Sila rujuk soalan di atas) 

Apakah hukum menggunakan inhaler (bagi pesakit  semput) ketika berpuasa? 
 Antara perkara yang membatalkan puasa ialah kemasukan sesuatu ke dalam badan melalui rongga yang terbuka. Namun, kemasukan seuatu bahan seperti ubat inhaler di atas dasar darurat, yang berkaitan dengan kesukaran bernafas, dibolehkan syara’. Oleh yang demikian, penggunaan inhaler yang berpatutan tidak membatalkan puasa. 

Adakah suntikan “insulin” membatalkan puasa? 
Suntikan insulin bagi pesakit kencing manis tidak membatalkan puasa. Ini adalah kerana suntikan tersebut bukanlah melalui rongga yang terbuka dan tidak pula memberi sebarang kekenyangan atau kepuasan kepada si pesakit.

Saya pernah terdengar bahawa jikalau seseorang  itu berpuasa, dia dilarang ‘membersihkan’ telinga atau hidungnya. Samada menggunakan cotton bud ataupun jari. Kerana perbuatan itu akan membatalkan puasanya. Adakah benar?
Di antara sebab batal puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja. Membersihkan telinga atau hidung tidak semestinya membatalkan puasa. Ia dibolehkan dengan  kadar yang sederhana dan berhati-hati. Contohnya, membersihkan telinga di kawasan yang tidak terlalu dalam. Namun, jika anda merasa ragu-ragu sekiranya perbuatan anda boleh membatalkan puasa, maka jangan lakukan dan bersihkanlah telinga dan hidung di waktu malam.

Adakah boleh saya menderma darah sewaktu berpuasa?
Menderma darah di dalam kuantiti yang sederhana dibolehkan dan tidak membatalkan puasa. Namun, pendermaan yang terlalu banyak sehingga menyebabkan kelemahan pada tubuh badan, sehingga tidak dapat menjalani ibadat puasa dengan baik, tidak digalakkan sama sekali. 


Sumber :
1)http://www.muis.gov.sg/cms/uploadedFiles/RamdanSG/FAQ%20Perkara%20yang%20Membatalkan%20Puasa_4_.pdf
2)http://www.e-mosque.com.my/ibadatfardhu/batal_puasa.html

No comments:

Post a Comment